Himpunan Peribahasa Kerjasama dan Perpaduan Di Malaysia

Senarai peribahasa berkaitan dengan kerjasama dan perpaduan di Malaysia berserta maksud peribahasa dan juga contoh ayat yang sesuai

peribahasa perpaduan

Peribahasa adalah satu susunan kata atau ayat yang mempunyai maksud tertentu yang merujuk kepada maksud berkias, berlapik dan tersirat.

Peribahasa ini tercipta daripada pengalaman sesuatu masyarakat dan merupakan satu sindiran dan pengajaran orang terdahulu yang diturunkan sejak berzaman.

Peribahasa Kerjasama dan Perpaduan Di Malaysia

Berikut saya kongsikan kepada anda semua, senarai peribahasa perpaduan dan kerjasama berserta maksud peribahasa.

PERIBAHASA

MAKSUD

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

Keputusan bersama secara majoriti atau kata sepakat yang dicapai melalui perbincangan.

Bagai aur dengan tebing

Persahabatan yang sangat baik dan akrab.

Sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk

Sama-sama ikut bertanggungjawab, susah senang dirasai bersama.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

Sama taraf atau setanding.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

Mengikut aturan yang diamalkan di sesuatu tempat.

Sama lebur, sama binasa

Sama-sama menanggung segala kepayahan.

Bersatu teguh, bercerai roboh

Amalan hidup bersatu-padu akan mengeratkan hubungan dan memperkuatkan sesebuah masyakat, perpecahan pula akan melemahkan kehidupan bermasyarakat.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

Amalan hidup toleransi dan muafakat, susah senang sama ditanggung.

Serumpun bak serai, sesusun bak sirih

Amalan hidup saling bermuafakat dan tidak berpecah-belah.

Bagai isi dengan kuku

Sangat rapat.

Bersekutu bertambah mutu

Perpaduan di kalangan rakyat menjamin kesejahteraan hidup.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

Pembahagian yang adil.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

Jika takut mengambil risiko jangan berbuat sesuatu.

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua

Bersatu hati.

Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni

Perhubungan yang akrab dalam apa-apa jua situasi.

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

Sesuatu yang dihasratkan tidak akan tercapai jika tiada usaha.

Biduk lalu kiambang bertaut

Orang yang bertelingkah kemudian berbaik semula.

Menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak

Melakukan sesuatu perkara dengan berhati-hati.

Asal ditugal ada benihnya

Sesuatu usaha pasti ada hasilnya.


Contoh Ayat Untuk Peribahasa Perpaduan

Berikut merupakan contoh ayat untuk peribahasa kerjasama dan perpaduan.

CONTOH AYAT

Syarikat itu bertambah maju setiap tahun kerana ketuanya berjaya menerapkan semangat bekerjasama dan perpaduan di kalangan pekerjanya yang berbilang bangsa seperti kata pepatah bulat air oleh pembetung, bulat manusia oleh muafakat.

Sehubungan itu, masyarakat hendaklah mengamalkan prinsip bagai aur dengan tebing agar aura muhibah yang sedia terjalin dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini terus lestari.

Ketiga-tiga sahabat itu berkongsi kepayahan apabila syarikat perkongsian mereka rugi, namun akhirnya mereka berjaya merasai kesenangan apabila berjaya memulihkan kembali perniagaan yang merosot kerana dari awal mereka telah bertekad sakit sama mengaduh, luka sama menyiuk.

Masyarakat di bandar mahupun kampung perlulah berusaha untuk memajukan diri dari aspek ekonomi agar mampu duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dalam sama-sama memajukan negara.

Dalam usaha memastikan semangat kejiranan terus subur, masyarakat hendaklah berpaksikan peribahasa di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung kerana Malaysia merupakan sebuah negara timur yang begitu mementingkan kehidupan bermasyarakat sesama individu.

Penduduk kampung itu telah sepakat sama lebur sama binasa dan tetap tidak mahu meninggalkan rumah masing-masing apabila dilanda banjir walaupun ada yang mampu berpindah ke tempat lain kerana mahu membantu penduduk lain yang tidak mampu berpindah.

Biarpun penduduknya berbilang bangsa dan agama, negara tersebut aman makmur dan tidak pernah dijajah kerana rakyatnya mengamalkan hidup bersatu teguh, bercerai roboh.

Demi mencapai keharmonian, setiap orang yang hidup dalam setiap kelompok atau kumpulan perlu menjalankan tanggungjawab masing-masing dan bersikap berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Pemimpin parti politik itu menasihati para pengikutnya supaya tidak berlumba-lumba mahu merebut jawatan dalam parti dan jika mahu dihormati rakyat dan pihak parti lawan mereka perlu amalkan sikap serumpun bak serai, sesusun bak sirih.

Hubungan persahabatan antara Kee Keong dan Ayzan umpama isi dengan kuku kerana mereka telah berkawan sejak kecil lagi dan belajar di sekolah yang sama.

Negara kita akan terus aman dan makmur jika rakyatnya saling hormat-menghormati dan sentiasa berpegang kepada kata-kata hikmah bersekutu bertambah mutu.

Pebagai nikmat dan kemudahan yang dikecapi di Malaysia hendaklah dikongsi sama rata oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, status sosial dan pedidikan bak kata pepatah hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Dalam usaha memajukan negara bidang perniagaan adalah suatu bidang yang perlu berani diceburi oleh masyarakat. Walau bagaimanapun, pendirian dan keazaman dalam menceburi bidang periagaan ini perlu kental kerana bak kata orang kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai.

Hubungan erat antara kaum di negara ini harus dijaga sebaik mungkin kerana perpaduan merupakan teras kesejahteraan negara. Oleh itu sebarang anasir yang memecahbelahkan perpaduan antara kaum perlu dielakkan sebaliknya peribahasa ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua perlu dijadikan pedoman dalam kehidupan.

Masyarakat Malaysia tidak kira warna kulit perlu berpegang kepada prinsip ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam mengharungi pancaroba kehidupan terutamanya ketika kegawatan ekonomi.

Sebagai usaha memajukan negara, rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu hidup muafakat dan memastikan kestabilan sosial tanah air kerana pepatah ada menyebut kalau tidak dipecakan ruyung, manakan dapat sagunya.

Meskipun ada perbezaan pendapat dan kadang-kadang bertikam lidah dalam kehidupan seharian, masyarakat perlulah bersikap seperti biduk lalu kiambang bertaut dengan tidak memanjangkan persengketaan untuk tempoh waktu yang lama.

Pemimpin negara perlu menyelesaikan isu-isu melibatkan perkauman dengan berhemah ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tak putus, tepung tak berserak.

Para pemimpin di Malaysia perlu mengamalkan politik matang dan sentiasa bermuafakat agar dapat memastikan kestabilan politik tanah air terpelihara kerana pepatah ada menyebut asal ditugal ada benihnya.


Diharapkan dengan peribahasa kerjasama dan perpaduan di malaysia ini dapat membantu pelajar untuk menulis karangan yang terbaik.
Iklan Atas Artikel
Iklan Tengah Artikel 1
Iklan Tengah Artikel 2
Iklan Bawah Artikel