Cara Daftar SSM Online Untuk Perniagaan Enterprise 2022

cara daftar ssm online

Anda kini boleh mendaftar perniagaan anda secara online melalui ezBiz SSM. Ini sangat sesuai untuk anda yang baru memulakan perniagaan dan ingin mengambil serius dalam perniagaan.

Dalam artikel ini, saya akan terangkan kepada anda semua mengenai cara daftar ssm online yang lebih mudah dan cepat untuk dilakukan.

Apa itu SSM?

Sebuah badan berkanun dikenali sebagai SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) telah diwujudkan dengan menggabungkan Pendaftar Syarikat (ROC) dan Pendaftar Perniagaan (ROB). Fungsi utama SSM adalah untuk bertindak sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas peraturan perniagaan.

Bagi mengekalkan perkembangan positif dalam sektor korporat dan perniagaan negara, SSM bertanggungjawab menguruskan pendaftaran perniagaan dan perundangan korporat melalui aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan yang meluas.

SSM telah mewajibkan semua peniaga, sama ada mereka menjalankan perniagaan mereka di luar talian atau dalam talian, mendapatkan lesen yang sah, dan jika syarikat anda tidak mendaftar dengan SSM, tindakan boleh diambil terhadap syarikat anda.

Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 membenarkan pendakwaan terhadap peniaga yang gagal mendaftar dengan SSM. Peniaga itu berdepan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Perniagaan Yang Boleh Didaftarkan Di SSM

Menurut laman web SSM, perniagaan termasuk semua bentuk perdagangan, pertukangan, pekerjaan dan aktiviti lain yang menguntungkan, tetapi tidak meliputi apa-apa jawatan atau penggajian atau apa-apa pengusahaan amal atau apa-apa kerja yang dinyatakan dalam jadual di bawah peruntukan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956.

Ini menunjukkan bahawa perkhidmatan tertentu seperti perkhidmatan rider atau perkhidmatan bebas juga termasuk dalam kalangan perniagaan yang boleh didaftarkan.

Hanya perniagaan yang beroperasi di Malaysia Barat, termasuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan, layak mendaftar di bawah APP 1956. Jenis perniagaan adalah seperti berikut:
  • Pemilikan Tunggal: Seorang memiliki keseluruhan syarikat.
  • Perniagaan perkongsian: Perniagaan yang mempunyai sekurang-kurangnya dua (2) pemilik dan maksimum dua puluh (20) rakan kongsi.

Syarat Pendaftaran Perniagaan

  1. Pemilik mestilah warganegara Malaysia atau penduduk tetap Malaysia.
  2. Pemilik mestilah berumur 18 tahun keatas.
  3. Hanya pemilik atau rakan kongsi yang layak memohon.
Garis panduan/syarat lain yang berkaitan:
  • Pendaftaran baru perniagaan boleh dibuat bagi jangkamasa satu (1) tahun dan tidak melebihi lima (5) tahun pada setiap pendaftaran.
  • Jenis perniagaan yang didaftarkan hendaklah mematuhi keperluan undang-undang, keselamatan persekutuan, ketenteraman awam atau prinsip moral.
  • Seseorang yang menjalankan perniagaan tanpa mendaftarkan perniagaan adalah melakukan suatu kesalahan di bawah Akta Pendaftaran perniagaan 1956 dan jika disabit kesalahan dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya.
  • Pemilik perniagaan bertanggungjawab untuk mendapat lesen, permit atau surat kebenaran sewajarnya daripada pihak berkuasa yang berkaitan bagi jenis/aktiviti perniagaan yang dijalankan walaupun pendaftaran perniagaan tersebut telah didaftarkan di SSM.

Cara Daftar ezBiz SSM Online

  1. Layari https://ezbiz.ssm.com.my/
  2. Untuk pengguna kali pertama, sila klik butang SIGN UP.
  3. Pilih NRIC, iaitu kad pengenalan, dalam ruangan TYPE ID.
  4. Isi ruangan NO ID dengan nombor IC dan ruangan NAME AS PER IC dengan nama penuh.
  5. Klik butang REGISTER.
  6. Anda sudah pun menjadi pengguna EzBiz, tetapi anda masih belum mendaftar perniagaan dengan SSM.
  7. Untuk melengkapkan pendaftaran, anda mesti hadir di mana-mana kaunter SSM dengan kad pengenalan anda dan pemberitahuan yang dihantar ke e-mel pengguna.
  8. Untuk tujuan keselamatan maklumat, aktifkan ID dengan melakukan pengesahan cap jari (biometrik) (sekali seumur hidup).
  9. Setelah ID anda diaktifkan, sila login semula ke laman web tadi.
  10. Kemudian, untuk daftar SSM online, sila pilih MY BUSINESS SERVICE.
  11. Pilih tab NEW BUSINESS di bawah sub menu NEW BUSINESS REGISTRATION. Isikan maklumat perniagaan melalui Borang Pendaftaran Perniagaan Baru (Borang A) dengan mengisi maklumat seperti berikut: a) Nama perniagaan b) Tarikh permulaan perniagaan c) Alamat utama perniagaan d) Alamat cawangan perniagaan (jika ada) e) Maklumat pemilik dan rakan kongsi f) Jenis perniagaan yang akan dijalankan g) Kemukakan salinan perjanjian perkongsian (jika ada)
  12. Setelah selesai, buat pembayaran mengikut kaedah yang anda inginkan.
  13. Sekiranya berjaya, anda akan mendapat notifikasi pengesahan dari SSM.
  14. Perakuan Pendaftaran Perniagaan boleh diperolehi dalam masa satu jam dari waktu pembayaran dibuat.

Bayaran Pendaftaran ezBiz SSM

Bayaran yang dikenakan untuk mendaftar syarikat di SSM adalah seperti berikut:
  • Perniagaan pemilikan tunggal menggunakan nama sendiri seperti di kad pengenalan – RM30.00.
  • Perniagaan pemilikan tunggal atau perniagaan perkongsian menggunakan nama tred – RM60.00.
  • Pendaftaran cawangan – RM5.00 setiap cawangan.
  • Cetakan Maklumat Perniagaan – RM10.00

Untuk sebarang maklumbalas mengenai cara daftar SSM, anda boleh dikemukakan melalui:

MENARA SSM@SENTRAL
No 7, Jalan Stesen Sentral 5​
Kuala Lumpur Sentral
50623 Kuala Lumpur.

Pusat Panggilan SSM
Tel: 03-7721 4000
Faks: 03-7721 4001
Emel : enquiry@ssm.com.my
Iklan Atas Artikel
Iklan Tengah Artikel 1
Iklan Tengah Artikel 2
Iklan Bawah Artikel