6 Jenis Emosi Asas (Basic Emotions)

jenis emosi asas

Psikologi mentakrifkan bahawa emosi adalah satu corak tindak balas kompleks yang melibatkan banyak kompenen samada dari segi pengalaman, tingkah laku dan fisiologi yang digunakan oleh seseorang individu untuk menghadapi cabaran ataupun suatu peristiwa kehidupan yang penting dalam aktiviti seharian mereka.

Semua manusia termasuk bayi akan mengalami perubahan emosi. Terdapat pelbagai jenis emosi mempengaruhi cara kita hidup dan berinteraksi dengan orang lain. Kita sebagai manusia kadangkala dikuasai oleh pelbagai jenis emosi. Emosi yang kita rasa mempengaruhi keputusan yang kita buat, tindakan yang kita ambil, dan persepsi yang kita ada. Antara emosi tersebut adalah seperti dibawah.

6 Jenis Emosi Asas

emosi asas

Emosi Gembira/Bahagia

Antara semua emosi yang dialami oleh manusia, emosi gembira adalah merupakan satu emosi yang sangat diinginkan oleh manusia dalam menjalani kehidupan sehari-hari mereka. Emosi gembira ini merupakan suatu keadaan yang menerang bahawa anda sedang berada dalam keadaan yang sangat bahagia, menyenangkan, puas hati, gembira dan dalam masa yang sama membuatkan kita bersemangat.

Mereka yang mengalami perasaan ataupun emosi yang gembira ini kebiasaannya akan kelihatan sentiasa bersemangat dan tersenyum, mereka juga terlihat sentiasa ceria dari segi tingkahlaku dan juga nada suara mereka. Emosi gembira ini membuatkan mereka berasa bersyukur dan memahami diri mereka dengan lebih baik. Dalam erti kata lain, emosi gembira ini merupakan salah satu emosi positif yang mempengaruhi kesihatan mental dan fizikal seseorang malah dipercayai dapat membantu memanjang umur.

Emosi Sedih

Emosi sedih ini merupakan satu emosi yang selalu dikategorikan sebagai emosi yang hanya sementara yang berpunca daripada timbulnya perasaan kecewa, berputus asa, tertekan, dan juga sedih. Namun begitu, dalam beberapa kes, emosi sedih ini boleh menjadi sangat teruk apabila berlakunya kesedihan yang berpanjangan sehingga mengakibatkan depresi kepada individu yang mengalami hal tersebut. Emosi sedih ini biasanya dapat dilihat melalui tingkah laku seseorang yang sering berdiam diri dan kelihatan sangat sedih, tidak bersemangat, menangis sayu dan juga kelihatan lesu.

Emosi Marah

Emosi marah ini sering kali dianggap sebagai suatu emosi yang negatif, yang mana emosi marah ini sering sekali ditunjukkan dalam pelbagai ekspresi dan tindakan seperti menggunakan nada suara yang kasar, keras ataupun berteriak, tingkah laku yang agresif dan kasar, memukul ataupun menghentak barang dan banyak lagi. Kemarahan yang negatif adalah disebabkan oleh emosi marah yang tidak dapat dikawal dan diekpresikan dengan cara yang salah dan bahaya bagi diri sendiri mahupun terhadap orang lain. Hal ini menyebabkan seseorang itu tidak mampu membuat keputusan yang baik dan tidak mampu untuk bersikap rasional. 

Namun begitu bagi sesetengah individu, mereka menganggap emosi marah ini adalah salah satu benda yang memotivasikan diri mereka yang mana emosi marah ini membantu dan mendorong diri mereka untuk mengambil tindakan dan mencari penyelesaian kepada hal yang membuatkan mereka marah. Bagi mereka emosi marah ini juga membantu mereka untuk melindungi diri dan merespon terhadap apa-apa ancaman.

Emosi Takut

Emosi takut ini merupakan satu emosi yang memainkan peranan yang sangat penting dalam psikologi setiap manusia. Hal ini kerana, emosi takut ini merupakan emosi yang membantu manusia semasa mereka merasa takut ataupun bahaya untuk membuat keputusan sperti lari ataupun melawan. Emosi takut ini juga membantu kita untuk menangani ancaman secara efektif.  

Emosi takut ini dapat dilihat dan dikesan melalui beberapa tingkah laku dan ekspresi. Contohnya, mata melebarkan dan menarik bahu, wajah kelihatan pucat dan ketakutan, bahasa tubuh yang memberitahu untuk bersembunyi ataupun melarikan diri untuk mengelak ancaman, pernafasan yang cepat dan juga mengalami detak jantung yang laju.

Emosi Terkejut

Emosi terkejut ini dikategorikan dalam tiga bahagian iaitu emosi negatif, emosi positif dan juga emosi neutral.
  • Emosi negatif: Terkejut yang tidak menyenang seperti terkejut apabila mendapat berita sedih (kematian, kegagalan).
  • Emosi positif: Terkejut apabila menerima berita yang baik seperti berjaya dalam temuduga yang telah dihadiri.
  • Emosi neutral: Terkejut apabila disergah oleh orang lain.
Keadaan ini biasanya akan terjadi dalam masa yang singkat apabila terjadi suatu keadaan secara tiba-tiba. Emosi ini selalu dilihat apabila seseorang mengerutkan dahi dan membuka mulut, melompat secara berundur, dan juga melakukan reaksi verbal seperti menjerit dan juga melatah.

Emosi Jijik

Emosi jijik biasanya wjud apabila sesorang berada dikawasan yang kotor. Namun begitu emosi ini juga bileh wujud apabila seseorang itu tidak menyenangi tingkah laku seseorang yang tidak bermoral dan jahat. Selain itu emosi jijik ini juga boleh dilihat berdasarkan tubuh badan yang mana individu itu akan berpaling daripada objek yang kotor, menutup hidung dan juga mengerutkan dahi.

Enam emosi di atas hanya sebahagian sahaja daripada barisan jenis-jenis emosi yang lain dialami oleh manusia. Paul Eckman telah menyatakan bahawa emosi asas ini adalah universal merentasi budaya di seluruh dunia. Emosi memainkan peranan penting dalam kehidupan kita, daripada mempengaruhi cara kita melibatkan diri dengan orang lain dalam kehidupan seharian kita kepada membuat keputusan.
Iklan Atas Artikel
Iklan Tengah Artikel 1
Iklan Tengah Artikel 2
Iklan Bawah Artikel